“Bila ALLAH makbulkan doamu, maka DIA menyayangimu, bila DIA lambat makbulkan d0amu, maka DIA ingin mengujimu, bila DIA tidak makbulkan d0amu, maka DIA merancang sesuatu yang terbaik untukmu. 0leh itu, sentiasalah bersangka baik pada ALLAH dalam apa jua keadaan…kerana kasih sayang ALLAH itu mendahului kemurkaanNya”

Sunday, October 14, 2012

Cara Sembahyang Yahudi


1.                           PENGENALAN
1.1.            Maksud Yahudi
                 Kajian ini bertujuan mengenali cara-cara sembahyang atau solat yang dilakukan oleh penganut Yahudi. Perlakuan sembahyang penganut Yahudi dikatakan hampir sama dengan penganut agama Islam. Benarkah pernyataan tersebut? Namun sebelum itu, apakah yang dimaksudkan dengan Yahudi ini? Siapakah mereka ini? Sesuatu perkara itu sudah pasti tidak lengkap untuk dihuraikan jika tidak diterokai daripada akar umbinya.
Yahudi merupakan satu kalimah yang dinisbahkan kepada anak keempat Nabi Yaakob iaitu Yahuda.[1] Ada buku yang mengatakan bahawa kalimah ini dinisbahkan kepada Yahuza iaitu salah seorang daripada anak Nabi Yaakob.[2] Sebahagian pendapat mengatakan bahawa kalimah Yahudi diambil daripada kalimah هاد- يهود- هودهودbermaksud cenderung, mengadu atau kembali.
Terdapat pendapat yang dianggap tepat iaitu menyatakan bahawa gelaran ini diambil sempena kejatuhan Kerajaan Yahuza pada 586 Sebelum Masihi. Nama ini kemudian dinisbahkan kepada penganut agama Yahudi atau pengikut ajaran Nabi Musa. Tercatat dalam kitab Al-Milal Wa Al-Nihal yang menyatakan bahawa Yahudi adalah agama yang dianuti oleh Bani Israel sejak zaman Nabi Musa. Pendapat ini berdasarkan umgkapan Nabi Musa sendiri yang berbunyi, “Sesungguhnya kami kembali kepadaMu wahai Tuhan.”
Manakala menurut Rabbi Wayne D. Dosick, Ph. D,  iaitu seorang pendeta Yahudi menyatakan dalam karyanya Living Judaism The Complete Guide to Jewish Belief, Tradition and Practice Yahudi dan juga agama Yahudi disebut dalam beberapa nama. Nama sebutan yang pertama digunakan dan diterapkan kepada Abraham dan keturunanya, iaitu   עבךיIvree.[3] Terjemahan yang tepat adalah diterjemahkan sebagai Bahasa Ibrani atau Hebrew.
Buku ini turut menyatakan bahawa Ivree membawa maksud ‘menyeberang’ atau ‘berhijrah’. Hal yang demikian disebabkan dalam pelbagai perjalanan, Abraham telah menyeberang sungai dan berhijrah dari suatu tempat ke suatu tempat. Malah pada awalnya, bangsa Yahudi iaitu dalam buku ini menyebutnya sebagai Yahudi People dikenali sebagai ‘pengembara’.
Menurut Bible, keturunan Abraham merupakan hamba abdi di Mesir dan telah ditebus, kemudian melalui perjalanan yang melalui padang gurun selama empat puluh tahun. Sepanjang perjalanan ini mereka juga akan berhenti untuk menerima perintah di Sinai atau dalam Bahasa Arab disebut sebagai طور سينا  dan ia juga dikenali sebagai Gunung Tur Sina. Setelah itu mereka memasuki Tanah Perjanjian yang dipanggil sebagai בני ישךאל B’nai Yisrael, “Anak-anak Bani Israel”, atau “Israel”.
Menurut Bible dalam Genesis, menyatakan bahawa Israel adalah nama yang diberikan oleh Tuhan kepada Yaakub setelah menang ketika melawan Tuhan dan manusia ketika bergaduh.[4] Genesis 32:27 menyatakan “What is your name?”the man asked. He replied, “Jacob”. Diikuti dengan  Genesis 32:28 yang berbunyi, “Your name will no longer be Jacob,” the man told him. “From now on you will be called Israel, because you have fought with God and wit men and have won.”
1.2.Siapakah yang dikatakan sebagai Yahudi
               Rabbi Wayne D. Dosick turut menulis bahawa menurut undang-undang Yahudi, seorang Yahudi adalah anak yang lahir daripada seorang ibu Yahudi, atau orang yang memeluk agama Yahudi.[5] Hal ini disebutkan sebagai keturunan matrilineal iaitu warisan agama ditentukan melalui ibu. Jika ibu adalah Yahudi, maka anak adalah Yahudi. Jika ayah adalah Yahudi tetapi ibu bukan seorang Yahudi maka anak tersebut bukan seorang Yahudi.
                    Keadaan ini adalah disebabkan adat masyarakat kuno, agama anak dikira daripada sebelah ibu kerana menjadi kebiasaan apabila terdapat keraguan siapa ayah kepada anak itu, namun tidak pernah ada keraguan siapa ibu kepada anak itu. Selain itu, ibu merupakan insan yang banyak memberi didikan kepada anaknya.
                    Kaum Yahudi juga disebut bangsa Israel atau Ibrani. Untuk mengetahui asal-usul mereka, kita harus kembali kepada sejarah Nabi Ibrahim a.s kerana timbulnya bangsa Ibrani adalah akibat perjuangan Nabi Ibrahim a.s. Sedang bangsa Israil adalah suatu cabang dari keturunan beliau. Nabi Ibrahim dilahirkan di kota Ur dari keturunan bangsa Kaldan telah amat jauh tersesat dalam hal kepercayaan dan akhlak. Nabi Ibrahim dibangkitkan Allah di tengah-tengah mereka untuk menuntut mereka kembali kepada agama yang benar, kepercayaan yang betul dan akhlak yang mulia. Nabi Ibrahim pada masa itu ialah masyarakat yang asyik memuja berhala-berhala pelambang dewa-dewa matahari, bulan dan bintang. Tetapi raja sendiri juga dianggap sebagai wakil Tuhan yang berkuasa di bumi.
                    Disebabkan itu, golongan yang berkuasa kaum bangsawan di zaman itu tidak sudi menerima pengajaran beliau,  di mana terdapat Raja Namruz yang sedang berkuasa di masa itu, sangat menolak dan benci kepada ajaran-ajaran Ibrahim. Tetapi dari tengah-tengah rakyat jelata, timbul juga orang yang mengakui kebenaran ajaran-ajaran yang dibawa Nabi Ibrahim. Beberapa kali Nabi Ibrahim berhadapan dengan Raja Namruz jelas kebenaran ajaran Nabi Ibrahim adalah benar. Disebabkan itu Raja Namruz mengambil tindakan menghukum Nabi Ibrahim dengan hukuman bakar.
Manakala bani Israil ialah di mana  Nabi Yaakub mula-mula menetap di negeri kan’an (Palestin) sekarang beliau mempunyai putra dua belas orang. Dari putra beliau yang 12 tersebut berkembang pesatnya serta timbul kaum Bani Israil. Nabi Yaakub mempunyai nama kehormatan denga sebutan Israil ertinya hamba Allah yang amat taat. Antara anak-anak Nabi Yaakub ialah Rubin, Simeon, Lewi, Yahuda, Zebulon, Isakhar, Dan, Gad, Asyer, Naftali, Yusuf dan Benyamin. Yahudi ialah nama yang diambil semperna  putra yang  yang keempat yang mana mempunyai keturunan yang ramai dan terkemuka daripada saudara-saudara yang lain.
Oleh kerana keturunan yang banyak itu, maka di antara keturunan dari saudara-saudara yang lain yang sedikit jumlah seperti Benyamin terus meleburkan diri ke dalam golongan Yahuda. Disebabkan golongan ini banyak jumlah dan besar maka bangsa Israil yang lain juga telah dibangsakan kepada Yahuda dengan sebutan Yahudi. 6]
1.3.Solat Umat Terdahulu
              Sesungguhnya, solat dalam Islam tidaklah diperintahkan secara tiba-tiba, tapi telah lama dilakukan. Bahkan, solat juga dilaksanakan oleh para nabi-nabi terdahulu. Dr Jawwad Ali, seorang pemikir kritis sekaligus sejarawan Muslim yang berasal dari Baghdad, dalam karyanya berjudul Sejarah Solat atau Tarikh as-Shalahfi al-Islam, menjelaskan, solat sudah dikerjakan sebelum Islam datang. Ini bermakna, solat juga dikerjakan oleh orang-orang terdahulu dan termasuk dalam ajaran agama terdahulu.
Dalam sejarah agama Samawi, solat juga pernah dikerjakan oleh para nabi-nabi mereka. Sebagaimana dijelaskan oleh Sami bin Abdullah al-Maghluts dalam kitabnya Athlas Tarikh al-Anbiya wa ar-Rusul agama Samawi adalah Islam, Yahudi, Nasrani, Hanif, dan Shabiyah Mandaiyah. Agama Islam nabinya adalah Muhammad SAW, Yahudi  adalah Musa, Nasrani  ialah Isa, Hanif  ialah Ibrahim, dan Shabiyah Mandaiyah pula ialah Yahya.
Para nabi tersebut juga diperintahkan oleh Allah SWT untuk mendirikan solat sebagai suatu kewajiban atas diri mereka dan umatnya. Nabi Ibrahim, Ismail dan Ishak juga diperintahkan solat. "Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman  dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah rezeki mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur." (Ibrahim [14] 37) dalam ayat ke-40.
Nabi Musa dan Harun pun demikian. "Dan Kami wahyukan kepada Musa dan saudaranya Ambillah olehmu berdua beberapa buah rumah di Mesir untuk tempat tinggal bagi kaummu dan jadikanlah olehmu rumah-rumahmu itu tempat solat dan dirikanlah olehmu solat serta gembirakanlah orang-orang yang beriman." (Yunus [10] 87). Nabi Daud juga mendirikan shalat, sebagaimana tertera dalam Mazmur 119 ayat 62. "Di tengah malam aku bangun untuk memuji-Mu ...."
Nabi Zakaria juga mendirikan shalat, sebagaimana terdapat dalam surah Ali Imran [3] 39. "Kemudian Malaikat (Jibril) memanggil Zakariya, sedang ia tengah berdiri melakukan solat di mihrab." Nabi Isa juga solat. "Berkata Isa Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberiku Al-Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang nabi, dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup; dan berbakti kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka. Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku meninggal dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali." (QS Maryam [19] 30-33).
Bahkan, Luqman juga memerintahkan solat kepada anak atau keturunannya. (QS Luqman [31] 17). Dan kaum bani Israil, Yahudi dan Nasrani, juga diperintahkan untuk solat. "Padahal, mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus. (QS Al-Bayyinah (98J 5).
2.      AMALAN  SOLAT  ORANG YAHUDI
                 Menurut Jawwad Ali, kata solat berasal dari bahasa Aramaic iaitu bahasa ibu Yesus Kristus dan bahasa ash sebahagian besar Kitab Daniel dan Ezra serta bahasa utama Talmud dari suku kata shad-lam-alif; shala yang bererti rukuk, atau merunduk (inhina). Istilah "solat" digunakan untuk menunjukkan upacara keagamaan dan kata "solat" ini kemudian digunakan oleh kalangan Yahudi sehingga sejak saat itu kata "solat" menjadi bahasa Aramaic-Ibrani. Umat Yahudi menggunakan kata "shalutah" pada masa akhir masa Taurat.
Hal ini dikuatkan oleh pendapat seorang sahabat terkemuka Ibnu Abbas, yang menyatakan bahawa kata "shala" berasal dari bahasa Ibrani "shaluta" yang bermakna "tempat ibadah Yahudi". Istilah "shaluta" sendiri pada perkembangannya masuk ke dalam bahasa Arab melalui tradisi Judeo -Kristiani dan komunikasi dengan komuniti Yahudi Ahli Kitab. Begitulah paparan awal Dr Jawwad Ali tentang solat yang diterangkan mengikut pemikirannya.
Disamping itu,  berdasarkan syair Jahiliyah, terdapat keterangan yang menerangkan adanya maklumat mengenai ibadah kaum Yahudi yang merangkumi gerakan rukuk, sujud dan membaca tasbih. Solat-solat kaum Yahudi  pada umumnya tidaklah dikenali oleh kaum Jahiliyah-pagan, namun bagi sebahagian kaum Jahiliyah yang pernah berinteraksi dengan orang-orang Yahudi pada masa itu, upacara solat orang-orang Yahudi dapat di fahami mereka.
Kaum pagan yang selalu melaksanakan haji pada musim-musim tertentu dan pada saat itu pun memiliki tata cara tersendiri untuk mendekatkan diri kepada berhala-berhala mereka. Ini menandakan bahawa aktiviti  penyembahan bernama upacara dikenal oleh komuniti paling primitif sekalipun. Dengan demikian, solat adalah hal yang bersifat menyeluruh dengan semua konsep agama. Konsep  upacara solat dalam setiap agama adalah berbeza-beza dari segi pergerakan dan bacaan. Hal ini menjadi perhatian para pakar agama tradisional, bahkan suku Barbar sekalipun memiliki upacara khusus yang mereka sebut "solat". Di antara penemuan pengkaji sejarah adalah teks-teks lama yang dahulu dibaca oleh orang-orang Assyiria dan Babilonia dalam upacara  solat mereka. Bukti yang menyebutkan adanya perlakuan upacara solat di kalangan masyarakat Makkah misalnya tertera dalam salah satu ayat Al-Quran surah al-Anfal [8] ayat 35 "Doa-doa mereka di sekitar Baitullah itu tak lain hanya sekadar siulan dan tepukan tangan". Hal ini dijelaskan pula oleh para ahli tafsir bahwa kaum Quraisy pagan juga melakukan tawaf dengan telanjang, bersiul, dan bertepuk tangan. Frasa "solatuhum" dalam ayat di atas ertinya "doa-doa mereka" mereka bersiul dan bertepuk tangan sebagai doa dan tasbih.
2.1.Pakaian Ketika Bersembahyang
                 Setelah mengetahui pelbagai perkara yang berkaitan dengan cara-cara sembayang Yahudi, semestinya timbul persoalan adakah penganut Yahudi mempunyai pakaian yang tersendiri ketika melakukan sembahyang atau solat? Oleh itu dalam bahagian ini beberapa keterangan akan dihuraikan bagi menjawab persoalan tersebut. Beberapa pakaian unik seperti kepah, tallit dan teffilin merupakan pakaian yang membawa makna simbolik kepada penganut Yahudi. Pakaian yang biasa dipakai oleh kebanyakan penganut Yahudi ialah kepah. Namun, bagaimana pula dengan dua pakaian lagi iaitu tallit dan teffilin.
                       Yahudi seperti yang telah diketahui lahir dan membesar di kawasan atau bahagian Timur dunia. Hal yang demikian menyebabkan pemakaian penutup kepala sudah menjadi perkara biasa. Umumnya kebanyakan penduduk sebelah Timur seperti bangsa Arab juga memakai penutup kepala. Oleh itu bangsa Yahudi juga tidak terkecuali. Mereka memakai Kepah iaitu penutup kepala sebagai tanda memuliakan Tuhan dan menghormati orang lain.[7]
                            Apabila mereka berhijrah ke dunia Barat di mana Barat tidak menganggap cara menghormati adalah dengan menutup kepala, penganut Yahudi masih meneruskan pemakaian Kepah terutama ketika beribadat iaitu tanda mengagungkan Tuhan. Yahudi Ortodoks atau yang masih berpegang kuat dengan tradisi memakai Kepah pada setiap masa. Hal yang demikian kerana mereka percaya bahawa dengan memakai Kepah pada setiap masa akan menjamin mereka sentiasa berada dalam rahmat Tuhan.
                       Manakala Yahudi yang lebih liberal pula hanya memakainya ketika beribadat, belajar dan juga makan. Yahudi Moden Reformasi pula mengadaptasi kebiasaan masyarakat Barat iaitu menundukkan kepala ketika bertemu. Oleh itu, mereka tidak memakai kepah. Namun dalam beberapa dekad yang terakhir, kebanyakan Yahudi Reformasi ini kembali memakai Kepah ketika beribadat.
                         Hingga kini, hanya kaum lelaki sahaja yang memakai kepah. Manakala, kaum wanita yang sudah berkahwin menutup kepala mereka dengan topi atau skarf apabila menghadari upacara ibadat. Wanita Yahudi yang taat, akan menutup kepala mereka pada setiap masa atau mereka mengenakan rambut palsu sebagai tanda kesopanan.
Berlainan pula dengan Tallit iaitu disebut juga sebagaiprayershawl  iaitu selendang atau kain ibadah. Terdapat perintah dalam Taurat mengenai pemakaian Tallit ini seperti yang diperkatakan oleh Rabbi Wayne D. Dosick dalam tulisannya[8] tecatat dalam Numbers 15:39 iaitu, “Wear fringes on the corners of your garment, look at them, and remember all of God’s commandments, and do them”.Manakala menurut Bible[9] melalui Numbers 15:38 iaitu, “Give the following instruction to the people of Israel : Throughout the generations to come you must make tassels for the hems of your clothing and attach them with a blue cord.”Perintah tersebut menyeru mereka memakai selendang yang mempunyai pinggiran disebut sebagaitzitzit, ia diikat menjadi simpulan tertentu untuk simbolik mewakili nombor 613 iaitu jumlah perintah Taurat. 
Pada awalnya ia dikenakan pada pakaian biasa. Selepas abad ke 13 Masihi, Tzitzit mula biasa dipakai pada pakaian dalaman dikenali sebagai Arba Kanfos yang bermaksud ‘empat sayap’ iaitu dalam siratan daripada empat hujung serta mempunyai satu lubang ditengah untuk kepala melaluinya berbanding pada pakaian luaran. Pemakaian Tallit dianggap wajib oleh para cendekiawan Yahudi untuk mereka yang menganut agama ini. Pemakaian Tallit adalah untuk sepanjang hayat mereka. Namun begitu, dalam era dunia moden ini kebanyakan kaum lelaki dan sesetengah kaum wanita Yahudi hanya mempunyai sedikit sahaja Tallit. Tallit yang sudah lusuh dianggap sebagai sesuatu yang suci diperoleh daripada tahun penggunaan.
Tefillin atau dikenali juga sebagai phylacteries[10] merupakan salah satu pakaian ibadah kaum Yahudi. Ia berbentuk sepasang kotak kulit hitam berisi gulungan perkamen yang bertuliskan ayat daripada Taurat. Tefillin tangan dililitkan pada sekeliling lengan, tangan dan juga jari. Manakala Tefillin kepala diletakkan pada dahi. Taurat menyebut tentang perintah menggunakan Teffilin sebagai tanda dan peringatan bahawa Tuhan telah membawa anak-anak Israel keluar dari Mesir.Penganut Yahudi menggunakannya pada lengan ketika beribadat dipagi hari pada hari bekerja.
Berdasarkan penerangan-penerangan tersebut, jelas menunjukkan bahawa penganut Yahudi mempunyai pakaian tertentu ketika beribadat dan melakukan sembahyang. Pakaian-pakaian tersebut adalah Kepah, Tallit dan juga Tefillin.
2.2.Bentuk-bentuk dan gerakan solat
                 Setiap agama menentukan bentuk khusus upacara solat yang sesuai dengan konsep agama masing-masing dan kaedah-kaedah yang memanifestasikan keagungan kepada Tuhan. Sebahagian agama menetapkan tata cara solat berkeadaan diam  dan menghadap kepada Tuhan (bagi agama monotheis) atau tuhan-tuhan (bagi agama politheis). Agama lain menetapkan tata cara berupa gerakan kemudian diam dengan tenang diiringi bacaan-bacaan khusus yang dihafal. Dan masih ada bentuk-bentuk upacara yang lain. Hanya  diam dengan tenang ketika berkomunikasi dengan Tuhan hampir menjadi upacara khusus kebanyakan agama, kemudian diteruskan dengan gerakan rukuk dan sujud.
Pada umumnya, sujud dilakukan di depan berhala-berhala. Sujud merupakan ungkapan keagungan terhadap objek yang disembah. Agama Yahudi menilai sujud yang benar adalah yang semata-mata ditujukan kepada Tuhan Pencipta, sedangkan sujud kepada manusia adalah sujud yang hakiki. Orang Arab (pagan) menolak rukuk dan sujud lantaran dua gerakan tersebut dinilai sebagai simbol kerendahan dan kehinaan. Solat orang Yahudi (Jewish Prayers), solat mereka hampir mirip dengan solat umat Islam. Mereka mengangkat kedua tangan, kemudian bersedekap kedua belah tangan, lalu rukuk dan sujud. Hanya pada sujud ketika solat sahaja yang  mempunyai perbezaan.
 Menurut Dr Jawwad Ali, walaupun solat merupakan ajaran agama-agama dahulu, bukan bererti Islam meniru perbuatan solat itu secara aslinya. Ini kerana Allah telah memerintahkan umat Islam menunaikan solat yang terkandung dalam surah:
                          "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah.Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah.Untukmulah agamamu dan untukkulah agamaku".(QS.Al-Kafirun:2-6)
2.3.Doa dan Sembahyang Yahudi
                Terdapat pelbagai jenis ibadat dan upacara keagamaan dalam agama Yahudi. Antara ibadat-ibadat dan upacara-upacara itu seperti berikut doa dan sembahyang adalah ibadat penting dalam agama Yahudi. Orang Yahudi membasuh tangan, muka dan kaki sebelum berdiri untuk sembahyang. Mereka sembahyang seperti sembahyang umat Islam cuma terdapat perbezaan dari segi perbuatan dan pergerakan seperti rukuk, sujud dan meletakkan tangan tangan di atas dada. Doa biasanya dilakukan dalam keadaan berdiri dengan cara menadah tangan ke langit sambil mengucapkan “Ya Yehowa, ya Nebi…..” Namun ada juga yang melakukan doa dalam keadaan duduk. Adakalanya mereka bersujud dengan muka rapat  ke bumi.
 Sementara sembahyang pula biasanya dilakukan tiga kali sehari. Sembahyang yang pertama dilakukan pada waktu pagi sekitar pukul sembilan, sembahyang yang kedua pada tengah hari dan ketiga pada waktu petang kira-kira pukul tiga. Biasanya mereka menunaikan sembahyang bersama-sama iaitu dengan berjemaah di tempat ibadat mereka yang khusus. Doa biasa mereka lakukan sambil berdiri dengan menadahkan kedua tangan arah ke langit, ada juga mereka berdoa sambil duduk berlutut.
                         Tempat ibadat mereka dinamakan Sinagong. Sinagong juga adalah tempat yang digunakan bagi mengajarkan ilmu keagamaan. Mereka menjadikan Baitul Maqdis yang berada di Palestin sebagai kiblat. Oleh itu, mereka sembahyang dengan menghadapkan wajah mereka kearah Baitul Maqdis dan mereka menganggap Baitul Maqdis sebagai tempat penting serta suci dalam agama Yahudi. [11]Namun ketika berada di negeri Mesir , sebelum turun kitab Taurat orang-orang Israel bersembahyang di rumah mereka masing- masing  atau di suatu tempat khusus untuk berkumpul bersama. Setelah turunnya kitab Taurat, mereka bersembahyang di dalam khemah besar yang khusus untuk bersembahyang yang mana luasnya kira-kira 100x50 hasta (32x16 meter). Khemah itu mereka bawa ke mana saja mereka pindah. 2]
3.      UPACARA IBADAT SABAT
                 Upacara ibadat Sabat dilakukan di Synagogue pada Jumaat malam Sabtu, yang biasanya wanita tidak turut serta dan pada hari Sabtu pagi. Setiap upacara sembahyang di Synagogue diperlakukan berjemaah sekurang-kurangnya terdiri daripada 10 orang lelaki. Sembahyang pagi Sabat dimulai sekitar jam 8:30 pagi yang berlangsung selama lebih kurang 3 jam.
Upacara itu, dimulai dengan seorang pembaca yang memakai jubah hitam dan songkok serta membaca dari atas mimbar pujian kepada Tuhan, pengakuan kepada keesaanNya dan terima kasih atas segala bantuanNya. Ini diiringi dengan amidah iaitu pujian kepada Tuhan atas kebajikan yang telah dilimpahkanNya dan penjagaanNya kepada bani Israil. Doa dan pujian diucapkan dalam bahasa Ibrani. Ketika Jemaah duduk: mereka semuanya berdiri ketika mengucapkan syema yang bererti ‘dengar’ terkandung di dalamnya seperti berikut: dengarlah olehmu hai Israil! Sesunguhnya Huwa itu Tuhan kita , Huwa itu esa adanya. Hendaklah kamu mengasihi Tuhanmu dengan segenap jiwamu dan segala kekuatanmu.
3.1.Upacara sembahyang berjemaah Yahudi
                 Rabbi yang bererti ‘tuan’ adalah imam yang memimpin upacara ibadat berjemaah. Rabbi juga merupakan guru dan ahli hukum. Puncak ibadat ialah apabila peti tabut dibuka dan kitab hukum itu di arak dengan hiasan-hiasan dan lampu-lampu. Seorang petugas mengeluarkan segolongan kulit yang berisi tulisan Taurat yang ditulis dengan tangan menggunakan huruf-huruf Ibrani. Ia dibawa mengelilingi Sinagong, setiap orang yang melewati harus dihadapkan wajahnya ke benda suci tersebut lalu membongkokkan diri menghormatinya dan tetap menghadap ke arah benda suci itu serta tubuh berputar mengikut ke mana benda itu di bawa, bahagian depan tubuh menghadap kepadanya, buku hukum itu tidak boleh dibelakangi. Kemudiannya buku itu dibukakan kulitnya untuk dilihat oleh semua orang, lalu di hamparkan di atas meja khas dan dibaca ayat-ayatnya.
Para Paderi memulakan diikuti para jemaah. Setelah pembacaan, buku itu digolong semula dan dikembalikan pada tabutnya.Setelah upacara ini, diucapkan lagi khutbah singkat lalu dinyanyikan nyanyian pujaan dan doa kepada Tuhan. Setelah itu, jemaah pun bersurai.  13]
                  Kesimpulan
                 Secara keseluruhan, setiap agama memmpunyai upacara tersendiri. Upacara keagamaan adalah sebahagian daripada ajaran yang di bawa oleh agama itu. Ajaran yang di bawa itu mungkin berbeza dan bertentangan antara satu sama lain. Namun, terdapat juga perlakuan dalam upacara keagamaan yang hampir serupa.
Misalnya, perlakuan solat orang Islam adalah hampir sama dengan orang Yahudi. Mereka juga turut rukuk seperti orang Islam namun caranya yang sedikit berbeza. Hakikatnya , Yahudi telah mengubah cara solat atau sembahyang sebagaimana yang telah diajarkan oleh Nabi Ibrahim dan anak-anaknya. Benarlah seperti yang telah dinyatakan dalam Al-Quran bahawa mereka menuruti  hawa nafsu dan merosakkan ibadah solat.     

No comments:

Post a Comment